top of page

Pelbagai Barang Seludup Bernilai RM11.8 Juta Dirampas

  • nabalunews
  • Oct 1
  • 2 min read

ree

1 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai barangan yang dipercayai cuba diseludup masuk bernilai keseluruhan lebih RM11.8 juta dalam tempoh sebulan yang dijalankan sepanjang September lalu.


Semua rampasan berkenaan dilakukan hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan menerusi Op Taring ESZZONE/Daratan, Op Kontraband, Op Bersepadu Khazanah, Op Hazard (E-Waste) serta sekatan jalan raya (RCP).


Pemangku Komander Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sepanjang tempoh 1 hingga 30 September lalu, sebanyak 49 serbuan berjaya dilaksanakan.

ree

Katanya, operasi melibatkan anggota dan pegawai dari IP Briged Sabah PGA bersama batalion di seluruh negeri.


“Sepanjang operasi ini, seramai 75 individu ditahan membabitkan 20 lelaki dan 12 wanita warga Filipina serta lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.


“Turut ditahan masing-masing dua lelaki warga China dan Pakistan serta 31 lelaki dan dua wanita tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ree

Ahmad Radzi berkata, rampasan terbesar membabitkan pelbagai barang lain bernilai RM6.44 juta dan diikuti kenderaan darat dan laut iaitu sebanyak RM2.45 juta.


Katanya, turut dirampas rokok seludup bernilai RM1.51 juta, makanan sejuk beku (RM547,522.88), mesin dan jentera berat (RM450,000) dan barangan bersubsidi bernilai RM399,540.60.


“Selain itu, pasukan operasi turut merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai RM32,665.05, dadah jenis syabu dan ketum (RM12,325.40) serta senjata api, peluru dan mercun bernilai RM200.

ree

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM11,861,011.73,” katanya.


Ahmad Radzi berkata, kejayaan itu dilihat berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup, minuman keras, makanan sejuk beku, barangan bersubsidi tanpa lesen sah dan dadah di kawasan Pantai Barat serta Pantai Timur Sabah.


Dalam masa sama, katanya, PGA Sabah akan terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dengan penuh integriti serta profesional demi kesejahteraan rakyat.


“Orang ramai juga diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan yang berlaku di sekitar mereka,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page