Pelbagai projek pembangunan dinikmati penduduk Nahaba atas usaha Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelbagai projek pembangunan dinikmati penduduk Nahaba atas usaha Ewon


SIMBOLIK ... Ewon (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Padis.

12 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Penduduk Kampung Nahaba menerima banyak pembangunan dalam tempoh 22 bulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu Datuk Ewon Benedick berada dalam kerajaan.


Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nahaba Padis Mengisan berkata, antara pembangunan di kawasan itu ialah penaiktarafan jalan ke kawasan Eko Pelancongan 3V Nahaba, jalan konkrit ke Gereja SDA, Dewan Terbuka, rumah PPRT, jambatan gantung dan pembaikan pondok dan pagar kawasan kuburan.


“Selain itu pelbagai jenis sumbangan diberikan termasuk sumbangan kerusi dan meja untuk keperluan Surau dan SK Nahaba, sumbangan touchpoint untuk setiap kelahiran dan takziah kematian.



“Semasa pandemik Covid-19, Datuk Ewon juga terus memberikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk kampung yang dikuarantin dan yang memerlukan bantuan,” katanya pada Program PDM Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Nahaba di Dewan Eko Pelancongan 3V Nahaba, di sini, hari ini.


Padis yang juga Ketua Cawangan UPKO Nahaba berkata, walaupun kini Kadamaian dalam kawasan pembangkang namun Datuk Ewon tidak pernah mengabaikan kebajikan masyarakat.


“Beliau (Datuk Ewon) terus memberikan pelbagai sumbangan termasuk sumbangan untuk surau, gereja, persatuan di Kadamaian yang disalurkannya sendiri atau melalui Pusat Khidmat Adun Kadamaian,” katanya.


Katanya lagi, kesungguhan dan komitmen Datuk Ewon menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang benar-benar berjiwa rakyat dapat dilihat melalui usahanya membantu masyarakat Kadamaian.


“Sebab itu pada mesyuarat PDM Nahaba baru-baru ini, kami sebulat suara mahukan Datuk Ewon terus kekal sebagai Ketua Bahagian UPKO Kota Belud.


“Pada masa yang sama kami juga memutuskan supaya Carlye Lajimin kekal sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan Ketua Pemuda Jolyhame Saran terus mengetuai pergerakan pemuda UPKO Kota Belud,” katanya.


Ewon turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Nahaba.

bottom of page