Pemandu Mabuk Ditahan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

6 Disember 2025
PENAMPANG: Seorang pemandu ditahan selepas dikesan memandu dibawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu Op Mabuk di Jalan Pintas Penampang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 3 pagi itu, sebanyak 63 kenderaan diperiksa dan 10 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, sepanjang operasi berkenaan, seramai 70 individu ditahan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, hanya seorang pemandu didapati positif ujian pernafasan dengan melebihi had yang dibenarkan.
“Pemandu terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sammy berkata, pemandu yang didapati mabuk ketika memandu turut berdepan hukuman hilang kelayakan lesen memandu selama 2 Tahun.
Katanya, sepanjang operasi sama, pihak polis turut mengeluarkan 10 keping saman termasuk kerana tidak memiliki lesen memandu.
“Op Mabuk ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan pengguna jalan raya yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada memandu kenderaan semasa berada dalam keadaan mabuk.
“Tindakan sedemikian boleh mendatangkan risiko kemalangan selain membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan,” katanya.


















Comments