Pemandu Maut Kenderaan Terbabas dan Langgar Tiang Elektrik di Kudat
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

29 Januari 2026
KUDAT: Satu kemalangan maut telah berlaku di Jalan Kudat-Kota Kinabalu petang semalam, mengorbankan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd. Haris Hj. Ibrahim, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.50 petang, 28 Januari 2026, di Kilometer 18 berhadapan dengan simpang Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sikuati di sini.
"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu ke Kudat telah bergerak perlahan sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan, masuk ke dalam parit, dan seterusnya melanggar sebuah tiang elektrik," jelas beliau.
Berdasarkan keterangan saksi awam di lokasi, mangsa didapati tidak sedarkan diri sejurus selepas kejadian. Pemeriksaan awal di tempat kejadian pula mendapati tiada kecederaan luaran yang jelas pada mangsa.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kudat untuk prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," tambah Mohd. Haris.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, Inspektor Asman Booman@Borhan di talian 011-33124756.
Polis Daerah Kudat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan semasa memandu.


















Comments