Pemandu Maut Kereta Terbabas Sendiri
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

3 September 2025
KOTA KINABALU: Seorang pemandu warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Sepanggar berhampiran Jabatan Laut, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 65 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit pembahagi jalan.

Katanya, pasukan perubatan segera dikejarkan ke lokasi untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.
“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.14 petang oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan jalan raya adalah baik dan cuaca ketika kejadian juga dilaporkan cerah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan turut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Kasim mengingatkan orang ramai bahawa sikap pemandu amat mempengaruhi keselamatan di jalan raya.
“Setiap pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa berhati-hati, mengawal kenderaan dengan baik, mematuhi had laju yang ditetapkan serta peka terhadap keadaan lalu lintas dan persekitaran.
“IPD Kota Kinabalu akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang trafik bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan pengguna jalan raya,” katanya.
Comments