top of page

PEMATUHAN SOP PENTING UNTUK KAWAL COVID-19 - DR ADHAM

nabalunews
Nov 18, 2020
1 min read

18 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh majikan dan pekerja sektor keselamatan dan pembinaan sangat penting bagi mengawal peningkatan kes positif COVID-19 di Kuala Lumpur dan Selangor, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata keutamaan Kementerian Kesihatan buat masa ini adalah untuk mengasingkan semua kes-kes positif dalam kalangan pekerja supaya dapat memutuskan rantaian jangkitan.

“Trend ini, setakat yang kita lihat, masih lagi dalam kawalan dengan syarat kita kekal mematuhi pendekatan kawalan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Kegagalan mereka mematuhi SOP merupakan satu penilaian risiko yang sedang kami jalankan dan kami akan ambil tindakan pantas menerusi pendekatan kesihatan awam supaya pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam memutuskan wabak bertambah baik," katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Setakat semalam, sebanyak 1,210 kes baharu COVID-19 dilaporkan, menyaksikan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 499 kes diikuti Selangor (259) dan Kuala Lumpur (238).

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 162 kluster aktif COVID-19 yang dilaporkan, 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk di tapak pembinaan dan sektor keselamatan. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page