Pembahagian kerusi parti-parti bekerjasama harus baru dan segar: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembahagian kerusi parti-parti bekerjasama harus baru dan segar: Ewon

3 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SIPITANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, pembahagian kerusi antara parti-parti yang bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang haruslah baru dan segar.


Beliau berkata, ini penting bagi mengelak tuntutan kerusi lama dan memastikan pengagihan kerusi diagihkan dengan lebih adil diantara semua parti komponen yang bekerjasama pada PRN akan datang.


“Kita maklum semua parti akan mengemukakan pandangan dan tuntutan. Sebab itu saya mengatakan perbincangan itu haruslah sesuatu yang segar dan baru. UPKO sentiasa terbuka untuk berbincang bagi mencari titik persetujuan keatas tuntutan yang dikemukakan oleh setiap parti.


“Apa yang penting, parti yang baru dan gabungan yang baru diwujudkan itu tidak harus menuntut hanya kerana Adun yang berhijrah itu sudah berada dalam parti mereka, maka kerusi itu harus diberikan kepada gabungan tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen UPKO Zon E (Sipitang dan Wilayah Persekutuan Labuah), di Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah, Sipitang, di sini, hari ini.


Sehubungan itu Ewon meminta supaya pembahagian kerusi dapat dibincangkan secara segar dan teliti semasa pilihan raya negeri akan datang.


“Perbincangan haruslah sesuatu yang segar dan baru apabila kita membincangkan soal kerjasama dalam PRN Sabah akan datang dan juga penentuan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti yang bekerjasama dalam PRN akan datang,” katanya.


Beliau berkata, perbincangan pembahagian kerusi itu juga penting kerana tidak ada gabungan yang sama komponneya yang ada sekarang berbanding dengan 2020, ia sudah jauh berbeza.


“Maka perbincangan pengagihan kerusi kerjasama politik semasa PRN nanti harus merupakan perbincangan baru. Tidak ada yang boleh mengatakan kerusi ini milik mereka hanya kerana Adunnya daripada parti itu yang telah berhijrah kepada parti baru dan satu gabungan parti baru telah diwujudkan selepas pilihan raya.


“Saya juga tidak setuju kemenangan kerusi-kerusi lama yang Adunnya memenangi kerusi itu atas tiket lain dan kini berhijrah kepada parti baru menjadi penentuan supaya kerusi itu harus milik gabungan berkenaan,” katanya.

bottom of page