Pembangunan belia dan sukan di Penampang diberi perhatian: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangunan belia dan sukan di Penampang diberi perhatian: Ewon


Billy Joe (tengah) menyampaikan sumbangan berupa peralatan sukan badminton kepada Belia Kg.Pinapah Kondis, Penampang.

3 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Isu-isu berkaitan pembangunan belia dan sukan khususnya di kawasan Penampang akan terus diberi perhatian bagi memastikan golongan itu tidak merasa terpinggir.


Ahli Parlimen Penampang yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah antara komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Penampang.


“Sebagai pemimpin muda, saya memahami isu-isu dan cabaran yang dihadapi golongan belia.


“Oleh itu saya telah mewakilkan pegawai-pegawai saya untuk menyampaikan sumbangan kepada persatuan dan kelab-kelab belia Penampang yang memerlukan sumbangan.


Billy Joe mewakili Ewon menyampaikan sumbangan peralatan sukan untuk belia Kg.Dungkahang.

“Saya berharap sumbangan itu dapat membantu mereka melaksanakan aktiviti yang dirancang untuk manfaat golongan belia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sementara itu Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominik berkata, antara isu yang sering dikaitkan dengan belia ialah kebajikan, ekonomi, pekerjaan dan pendidikan.


“Kita akan terus memperkasakan Pemuda dan Pergerakan Generasi Muda Upko sebagai satu platform kepada golongan belia menyuarakan pandangan dan cadangan dalam pelbagai isu.


“Saya percaya pandangan dan cadangan golongan muda juga perlu diambil perhatian kerana mereka adalah bakal pewaris kepada kepimpinan negara akan datang,” katanya.


Billy Joe (tengah) mewakili Ewon menyampaikan sumbangan kepada Kelab Belia Penampang Proper.

Billy mewakili Ewon menyampaikan sumbangan kepada beberapa kelab dan persatuan belia di Penampang, baru-baru ini.


Antara yang menerima sumbangan ialah Kelab Belia Penampang Proper, Kelab Belia Kg.Dungkahang, Persatuan Singa Subang dan Peserta Tarian dari SK Luyang serta sumbangan kepada Pusat Latihan i-System Kota Kinabalu untuk membiayai program lawatan mereka.


“Kelab Belia Kg.Dungkahang menerima sumbangan satu set meja ping pong untuk menggalakkan para belia kampung itu mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat,” katanya.


Setiausaha Kelab Belia Penampang Proper Micheal Fadilah berkata, golongan belia Penampang merasa bertuah kerana mempunyai wakil rakyat yang amat prihatin dan memahami keperluan mereka.


Billy Joe bergambar bersama ahli Persatuan Singa Subang selepas upacara membuka mata singa. Persatuan itu akan menyertai pertandingan tarian singa di Johor pada 15 Julai ini.

“Terima kasih kepada Datuk Ewon kerana memberikan sumbangan kepada kelab kami untuk menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak antara kelab-kelab bola sepak kawasan Penampang.


“Selain sukan, kami juga merancang untuk menganjurkan program-program kemasyarakatan seperti gotong-royong dan membantu ahli kelab yang memerlukan bantuan,” katanya.


Turut serta menyampaikan sumbangan, JPKK Kg.Dungkahang Herron Lijawa, Ketua Pemuda PKR Penampang Remysta Taylor dan ahli jawatankuasa Kelab Belia Penampang dan Pemuda Upko Bahagian Penampang.


Billy Joe (dua dari kiri) mewakili Ewon menyampaikan sumbangan kepada guru SK Luyang. Sumbangan itu adalah untuk murid sekolah berkenaan yang akan menyertai pertandingan tarian.


bottom of page