top of page

Pembangunan daerah berdaya saing dan inklusif jadi visi Felix di Telupid

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

23 November 2025


TELUPID: Usaha menjadikan Telupid sebuah daerah luar bandar yang berdaya saing dan inklusif, dengan pembangunan menyeluruh menjadi visi manifesto calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang.


Felix, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid berkata, daerah itu memiliki kedudukan strategik di tengah-tengah Sabah dan berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu sekiranya dibangunkan secara terancang.


“Pembangunan Telupid perlu digerakkan secara menyeluruh meliputi aspek infrastruktur asas, peluang ekonomi, pendidikan serta pemodenan daerah.

ree

“Dengan kedudukan yang strategik dan sumber daya yang ada, Telupid mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan sebagai bandar satelit yang mampu menjadi pemangkin pertumbuhan wilayah pedalaman Sabah,” katanya.


Justeru, beliau meletakkan empat misi utama untuk membina Telupid yang bukan sahaja berdaya maju dan inklusif, malah seimbang dari segi pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan agama.


Ia termasuk memperkukuh infrastruktur asas; memperkasa masyarakat melalui peningkatan kemahiran, pendidikan dan peluang ekonomi; mewujudkan pembangunan daerah seiring perkembangan era digital; menjamin keadilan sosial serta pembahagian hasil pembangunan yang saksama.


Felix turut menggariskan lapan teras manifesto yang akan dijadikan garis panduan dalam pelan pembangunannya untuk Telupid.


Beliau meletakkan agenda hak tanah adat sebagai keutamaan yang antaranya bagi mempercepat proses pemilikan geran, menyelesaikan isu persempadanan kampung secara telus, serta memastikan pengurusan tanah yang lebih cekap.


Dalam aspek infrastruktur pula, tumpuan diberikan terhadap penambahbaikan liputan internet, penaiktarafan dan penyelenggaraan jalan perhubungan kampung serta kemudahan lain, selain menangani isu bekalan air dan elektrik.


Aspek pemerkasaan pendidikan turut diberi tumpuan dengan komitmen untuk menyelesaikan isu tanah bagi membolehkan projek sekolah dilaksanakan dan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.


Beliau juga mahu memperkukuh tadbir urus pembangunan komuniti, antaranya melalui pemberian geran tahunan pengurusan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelaksanaan transformasi kepimpinan kampung yang lebih telus.


Agenda pemerkasaan wanita dan belia turut menjadi keutamaan termasuk cadangan penubuhan koperasi wanita, program keusahawanan serta insentif untuk persatuan belia, selain cadangan untuk membina kompleks sukan di Telupid.

Sementara itu, bagi membangunkan ekonomi komuniti, beliau bertekad mewujudkan ruang niaga atau tamu di setiap kampung, melaksanakan program Satu Mukim Satu Industri Desa serta menubuhkan pusat pegumpulan hasil tani dan ternakan.


Dalam teras ketujuh manifestonya, Felix mahu mengangkat Telupid sebagai destinasi pelancongan desa, antaranya melalui pemerkasaan Jawatankuasa Tagal bagi memajukan potensi pelancongan di setiap kampung.


Akhir sekali, beliau bertekad untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan penduduk, termasuk pembentukan Skuad Prihatin, penyediaan saluran khidmat masyarakat, serta penubuhan tabung bencana dan kebajikan komuniti.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page