top of page

Pembelian Aset Strategik, Perkukuh Siapsiaga Hadapi Ancaman

  • nabalunews
  • Jun 29
  • 1 min read

29 Jun 2025


TAWAU: Usaha memperkasakan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kesiapsiagaan menghadapi sebarang bentuk ancaman terus menjadi keutamaan negara menerusi pembelian aset strategik secara berfasa.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap pembelian aset dilakukan berdasarkan keperluan dan kesesuaian perkhidmatan pertahanan negara.


Katanya, ia termasuk penyesuaian spesifikasi dan pengendalian teliti aset sama ada untuk sistem pertahanan darat, laut ataupun udara.


“Antara perolehan besar yang telah dibuat iaitu pembelian 18 pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) FA-50 dari Korea Selatan serta tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS).


“Beberapa aset penting lain juga sedang dalam proses pembinaan dan pelaksanaan termasuk pembelian sistem radar pantai,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC), di sini, hari ini.


Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.


Mohamed Khaled berkata, ia termasuk penggantian Pangkalan Hadapan Tun Sharifah Rodziah di Semporna dengan pangkalan mudah alih yang dijangka direalisasikan seawal tahun depan.


Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama pertahanan, Mohamed Khaled berkata, Malaysia menjalinkan hubungan erat dengan negara-negara sahabat seperti Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Jerman dalam memperkukuh diplomasi pertahanan negara.


Katanya, antara usaha itu adalah pembinaan fasiliti latihan jangka panjang di Lapang Sasar Kem Paradise, Kota Belud hasil kerjasama strategik bersama Amerika Syarikat, termasuk pemberian aset seperti dron dan sistem radar serta program latihan bersama.


“Ini bukan sekadar meningkatkan keupayaan pertahanan, malah menjadi medium pencegahan yang efektif demi kestabilan rantau ini,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page