Pembukaan Tagal Tambulion Ulu: Lambang Perpaduan Komuniti Di Sebalik Kelestarian Sungai
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
30 Mac 2026
KOTA BELUD: Lebih 300 penduduk Kampung Tambulion Ulu membanjiri kawasan sungai setempat pagi tadi bagi menyertai pembukaan sistem Tagal tahunan yang juga menjadi simbol perpaduan dan kelestarian sumber air.
Program Gotong Royong Monginsada yang berlangsung meriah itu menandakan berakhirnya tempoh larangan menangkap ikan di sungai berkenaan, sekaligus membuka peluang kepada komuniti memanfaatkan sumber perikanan yang dipulihara secara terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Boniface @ Doni Jiran, berkata pembukaan Tagal merupakan acara paling dinanti penduduk kerana ia menunjukkan kejayaan pengurusan sungai secara mampan sejak tempoh tutup dilaksanakan.

“Sistem ini bukan saja memulihara hidupan akuatik, tetapi membuktikan komitmen masyarakat mengurus sumber alam secara bertanggungjawab demi generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir menyaksikan acara tersebut ialah Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau, serta barisan ahli JKKK, Jawatankuasa Tagal dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Pengerusi penganjur, Jessicia Michael, menjelaskan bahawa pembukaan Tagal kali ini diangkat sebagai lambang perpaduan dan warisan tradisi hasil kerjasama erat penduduk dalam memastikan kelestarian sungai.

Katanya, aktiviti seumpama itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai rasa tanggungjawab kolektif terhadap sistem Tagal yang telah menjadi contoh pengurusan sumber alam lestari di peringkat kampung.















Comments