top of page

Pemergian Bung Moktar kehilangan sahabat sejati dan pejuang UMNO – TPM Zahid

  • nabalunews
  • 52 minutes ago
  • 1 min read

ree

5 Disember 2025


KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai kehilangan seorang sahabat sejati yang amat dekat di hati.


Beliau berkata, pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu bukan sahaja kehilangan peribadi buat dirinya, malah turut dirasai seluruh kepimipinan UMNO serta rakyat Sabah yang selama ini menyanjungi komitmen Allahyarham terhadap tanah kelahirannya.


“Allahyarham pergi ketika perjuangannya tidak pernah surut. Beliau pergi dengan hati yang masih memikirkan rakyat, masih memikirkan Sabah, masih memikirkan amanah yang dipikulnya.


“Semangatnya yang tegas, keberaniannya yang tidak pernah goyah dan kesetiaannya yang tidak pernah retak tetap hidup dalam hati kami yang mengenali beliau.


“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat, tetapi UMNO kehilangan seorang pejuang dan Sabah kehilangan seorang anak watan yang tidak pernah berhenti mencintai tanah kelahirannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bersama kepimpinan tertinggi parti menunaikan solat jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.


Beliau turut menggambarkan suasana penuh sebak yang menyelubungi hadirin sebagai tanda kasih rakyat Sabah terhadap tokoh politik itu.


“Ramai yang datang bukan sekadar untuk mengiringi Allahyarham, malah untuk mengirimkan doa, menitipkan rasa cinta dan penghargaan atas seluruh bakti seorang pejuang yang tidak pernah mengenal erti lelah dalam berbakti.


“Saya dan kepimpinan tertinggi UMNO berdiri bersama, menunaikan solat jenazah dengan dada yang sarat. Sarat dengan kenangan, dengan rasa hormat dan dengan doa seolah-olah mahu memegang sekejap masa yang sedang menangisi pemergiannya,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page