Pemilihan JKKK Secara Undian di Kadamaian Berjalan Lancar di Kampung Gensurai dan Podos
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

9 Februari 2026
KOTA BELUD: Proses pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui kaedah undian berjalan lancar semalam melibatkan dua buah kampung dalam Kawasan Kadamaian, iaitu Kampung Gensurai dan Kampung Podos.
Majlis pemilihan tersebut telah diselia bersama oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Ewel Deukin, serta Pemaju Mukim Kadamaian, Hadlee Panchai.
Dalam taklimatnya, Hadlee menegaskan bahawa pelaksanaan pemilihan melalui undian merupakan manifestasi jelas amalan demokrasi di peringkat akar umbi, di mana komuniti diberi ruang dan kepercayaan untuk memilih kepimpinan kampung secara telus dan adil.

“Ia sejajar dengan hasrat dan arahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang mahu proses pemilihan JKKK di kawasan ini dilaksanakan secara demokratik melalui kaedah pengundian,” katanya.
Datuk Ewon Benedick, yang juga Timbalan Ketua Menteri III serta Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, sebelum ini menegaskan komitmen beliau untuk melaksanakan sistem pemilihan JKKK secara undian di semua kampung dalam kawasan DUN Kadamaian.
Di Kampung Gensurai, pertandingan tiga penjuru menyaksikan Ensin Matingkad @ Batingot memperoleh sokongan majoriti penduduk dan dipilih sebagai Pengerusi JKKK yang baharu.

Sementara itu, di Kampung Podos, pertandingan dua penjuru dimenangi oleh Joeltin Ginsuab, yang seterusnya diberi amanah untuk mengetuai JKKK kampung berkenaan.
Kehadiran penduduk ke pusat pengundian amat menggalakkan. Penetapan waktu pemilihan pada sebelah petang hujung minggu memudahkan penyertaan masyarakat setempat, khususnya selepas selesai menunaikan ibadah di gereja.

Dengan selesainya proses pemilihan di kedua-dua kampung tersebut, diharapkan kepimpinan JKKK yang baharu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan serta membawa pembangunan dan kemajuan berterusan kepada komuniti masing-masing.














