Pemilihan Selesai, UPPM Tekankan Kepentingan Kesepaduan Komuniti di Kampung Mandap dan Bongol
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

11 Februari 2026
KOTA BELUD: Proses pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mandap, di sini, berlangsung lancar semalam dalam suasana harmoni dan penuh semangat demokrasi.
Dalam pertandingan dua penjuru itu, Jerry Koyoh berjaya memperoleh kepercayaan majoriti penduduk dan dipilih sebagai Pengerusi JKKK Kampung Mandap bagi sesi 2026–2030.
Turut hadir, Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.
Beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada pengerusi baharu serta merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Pemilihan tersebut diselia oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Joel Ewel Deukin, dengan dibantu oleh Pemaju Mukim, Marcus Logiau, bagi memastikan proses berjalan teratur dan telus.
Terdahulu, pada sebelah pagi hari yang sama, pemilihan JKKK turut diadakan di Kampung Bongol, yang menyaksikan Patrick Sitoh dipilih sebagai pengerusi baharu bagi kampung berkenaan.
Mewakili UPPM, Joel menegaskan bahawa setelah proses pemilihan selesai, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh kesepaduan dan kerjasama dalam kalangan komuniti.

Beliau menyeru semua penduduk agar mengetepikan perbezaan dan berganding bahu demi kemajuan serta pembangunan kampung masing-masing.














