Pemilik rumah melecur dalam kebakaran di Kampung Batu Lunguyan
- nabalunews
- Dec 29, 2025
- 1 min read

29 Disember 2025
SOOK: Seorang lelaki dilaporkan melecur dalam kejadian kebakaran di Kampung Batu Lunguyan Sook, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 46 tahun yang juga merupakan pemilik rumah dilaporkan cedera di bahagian bahu.
Mangsa dikatakan dihantar ke Klinik Tulid Sook oleh orang awam sebelum ketibaan Pasukan Bomba.

Menurut Pegawai bertugas Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak bomba terima panggilan 8.54 malam melalui talian NG999.
Katanya, jentera sampai pada jam 9.30 malam dengan jarak 31 kilometer dari balai bomba ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 150 kaki persegi yang terbakar 100 peratus.
"Turut terbakar sebuah kereta Perodua Kancil dan dua motosikal jenis Honda yang musnah 100 peratus,” katanya.
Pasukan Bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan sumber air daripada jentera bomba.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi terkawal ditamatkan pada 9.45 malam.















Comments