top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemimpin Keningau dan Matunggong keluar Warisan


Barlus (tengah, depan) mengumumkan keluar Warisan di Matunggong. Turut bersamanya bekas pemimpin Warisan Matunggong dan Kota marudu.

7 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pemimpin parti Warisan kawasan Parlimen Keningau dan Kota Marudu turut ikut jejak Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia, Datuk Peter Anthony meninggalkan parti itu.


Naib Ketua Bahagian Warisan Keningau, Jickol Tagua; pemangku Ketua Wanita merangkap Timbalan Ketua Bahagian, Julimah Anggula dan Exco Wirawati merangkap pemangku Ketua Wirawati Keningau, Fadilla Lasmin antara yang telah mengumumkan keluar dari Warisan.


Mereka mengumumkan bersama keputusan meninggalkan Warisan di Keningau semalam dalam satu majlis yang turut dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, AJK Wanita, Wirawati dan Wira.


"Kami mengumumkan keluar daripada parti Warisan tanpa pengaruh dan desakan mana-mana pihak. Ini adalah keputusan kami untuk menyokong kepimpinan Datuk Peter menubuhkan parti baru mesra kerajaan," kata Jickol.


Pada masa yang hampir sama di Dewan Leegot Kg. Narandang Matunggong, beberapa pemimpin diketuai Ketua Penerangan Warisan Kota Marudu, Barlus Mangabis turut mengumumkan keluar Warisan.


Antara yang menyertai Barlus ialah Setiausaha Bahagian Warisan Kota Marudu yang juga Ketua Wira Warisan Matunggong, Herwin Maranjak; Timbalan Ketua Perhubungan Warisan Matunggong, Jimis Monunsui; Ketua Penerangan Warisan Matunggong, Jotiol Madjamam dan beberapa AJK Bahagian serta ketua-ketua cawangan.


"Di Matunggong boleh dikatakan Warisan sudah lumpuh. Hari ini, sekitar 120 bekas pemimpin dan ahli Warisan hadir. Ramai lagi dijangka akan sertai kami untuk menyokong kepimpinan Datuk Peter dalam parti baharu nanti," kata Jotiol.


Jickol (depan, tiga dari kanan) mengetuai bekas pemimpin-pemimpin Warisan Keningau mengumumkan keluar parti di Keningau.

Tindakan pemimpin-pemimpin di Keningau dan Matunggong, Kota Marudu itu adalah susulan selepas keputusan sama dibuat pemimpin-pemimpin di Tenom dan Sepanggar baru-baru ini.


Ia dianggap `tonik' kepada Peter menerajui parti baharunya yang dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.


Peter yang juga mantan Naib Presiden Warisan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, mengumumkan bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim keluar dari Warisan untuk menubuhkan parti haharu mesra kerajaan pada 28 Disember lalu.

댓글


bottom of page