Pemuda maut kemalangan di Jalan Keningau - Apin-Apin
- nabalunews
- Aug 17, 2024
- 1 min read

17 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Seorang pemuda maut dalam kemalangan di kilometer 8, Jalan Keningau - Apin-Apin, pagi Jumaat.
Mangsa Allbrayon Sariman, 23 tahun, seorang pembantu kedai berasal dari Kampung Nababaru, Bunga Raya di sini, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan berlaku kira-kira 8.00 pagi.
Ketua Polis Daerah Keningau Supritendan Yampil Anak Garai yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper dan sebuah motosikal Honda RS.
Katanya, siasatan mendapati kenderaan Isuzu Trooper bergerak dari arah Apin-Apin menuju ke Keningau manakala motosikal yang ditunggang mangsa bergerak dari arah yang sama.
"Kemalangan berlaku apabila kenderaan kenderaan Isuzu Trooper hendak masuk ke simpang sebelah kanan namun motosikal yang bergerak dari belakang kenderaan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan Isuzu Trooper" katanya.
Ekoran daripada kemalangan itu, mangsa tercampak di atas jalan bertentangan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu kenderaan Isuzu Trooper tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca kecuaian mangsa sendiri yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti bagi punca sebenar kemalangan.
Comentarios