top of page

Pemuda UPKO Kota Belud Teruskan Program CSR di Kadamaian Demi Kesejahteraan Komuniti

  • nabalunews
  • Jul 14, 2025
  • 1 min read

14 Julai 2025


KOTA BELUD: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud diteruskan hari ini di kawasan Kadamaian dengan pelaksanaan aktiviti gotong-royong dan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan.


Inisiatif ini diketuai oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, dengan penyertaan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda yang turut hadir memberikan sokongan. Terdahulu, Pemuda UPKO telah menyumbangkan bahan binaan kepada salah seorang penduduk, Molutin Mogintan, sebagai langkah awal bantuan kebajikan.


Sebagai kesinambungan daripada bantuan tersebut, program pada 12 Julai lali memfokuskan kepada kerja-kerja pembaikan kediaman serta pemasangan lampu solar, sebagai usaha menambah baik keadaan tempat tinggal dan keselamatan persekitaran.

Menurut Jolyhame, kehadiran mereka bukan sekadar menyampaikan bantuan fizikal, tetapi turut menyumbang secara langsung melalui tenaga kerja dalam aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan.


“Kami berharap usaha ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh penerima, di samping menyuntik semangat baharu dalam kalangan penduduk setempat,” ujar beliau.


Turut hadir menyertai program berkenaan ialah Setiausaha Pemuda UPKO Kota Belud, Joel Deukin, Bendahari Pemuda, Stanley Musa serta beberapa lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda UPKO yang lain.

Program seumpama ini menunjukkan komitmen berterusan Pemuda UPKO Kota Belud dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka, selari dengan matlamat memperkasakan masyarakat luar bandar. Melalui pendekatan yang inklusif dan menyeluruh, Pemuda UPKO berharap dapat memupuk semangat kesukarelawanan dan memperkukuh hubungan antara pemimpin muda dan komuniti.


Usaha murni ini bukan sahaja memberi impak jangka pendek dari sudut bantuan keperluan harian, malah mencerminkan kesungguhan dalam membina jaringan sokongan masyarakat yang lebih erat dan lestari.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page