Pemuda UPKO sokong pendekatan Ewon tangani isu rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda UPKO sokong pendekatan Ewon tangani isu rakyat


11 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong penuh pendekatan presiden parti itu Datuk Ewon Benedick dalam menangani isu-isu rakyat.


Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Felix Joseph Saang berkata sebagai barisan Pemuda, mereka bangga dengan kegigihan, kecekalan, keikhlasan dan keberanian Ewon mengangkat parti itu ke tahap yang lebih tinggi, memperjuangkan kepentingan-kepentingan rakyat termasuk hak dan tuntutan Wilayah Sabah.


Beliau berkata, Pemuda akan mejadi perisai dan benteng parti untuk menghadapi apa juga cabaran, serangan dan rintangan yang mendatang.


“Kami sentiasa menyokong pendekatan presiden untuk menangani isu-isu rakyat, sebab itu Pemuda mengadakan Retreat selama dua hari untuk membincangkan pelbagai isu bukan sahaja berkaitan hala tuju untuk memperkasakan parti dan tuntutan perjanjian Malaysia (MA63) tetapi isu kos sara hidup rakyat.


“Perkara penting yang kita bincangkan dalam retreat ini ialah berkaitan dengan pilihan raya negeri ke-17 (PRN17), kerana inilah kemuncak perjuangan sesebuah parti iaitu menghadapi pilihanraya.


“Setakat ini, Pemuda telah mengadakan pelbagai program, antaranya program kemasyarakatan dan kebajikan di peringkat Bahagian bersama dengan komuniti akar umbi serta Karnival Sukan bersama belia dan generasi muda,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Retreat Pemuda UPKO yang disempurnakan oleh Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di Tang Dynasty Hotel, pada Sabtu.


Felix berkata, dalam keadaan politik masa kini yang dianggap agak ‘bercelaru’ Pemuda UPKO berpandangan bahawa parti itu harus mempunya perancangan strategik, pelan tindakan, misi dan matlamat tersendiri yang jelas sebagai langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN ke-17).


“Apa pun keputusan yang hendak kita lakukan, siapa pun rakan seperjuangan kita kelak, UPKO terlebih dahulu seharusnya mencorak hala tujunya tersendiri supaya kita mempunyai kompas yang lebih jelas.


“Sebagai sebuah parti politik, kita harus bertanyakan kepada diri kita apa sebenarnya yang ingin kita kecapi dalam perjuangan parti.


“Saya percaya dengan adanya halatuju dan matlamat parti yang lebih jelas dan konkrit, maka ini akan memudahkan kita mengatur strategi dan langkah-langkah seterusnya, termasuklah mempertimbangkan siapa rakan kita yang ‘paling sesuai’ untuk menghadapi PRN 17 kelak.


“Bagaimanapun, Pemuda beranggapan, UPKO hari ini berjuang bersama Pakatan Harapan (PH), kita yakin dan lebih selesa dengan gabungan yang sedia ada,” katanya.


Beliau berkata, tema Retreat Pemuda ‘Pemuda Pemangkin Aspirasi Rakyat’ selaras dengan perjuangan parti itu memperjuangkan isu-isu rakyat.


“Pemuda akan terus berusaha gigih menabur bakti kepada masyarakat dan memainkan peranan dalam membantu memperkukuhkan parti,” katanya.


Katanya lagi, kemuncak program Retreat adalah pembentangan Resolusi Pemuda UPKO sebagai panduan dan pemangkin semangat juang dalam menghadapi cabaran politik menjelang PRN-17.


“Hasil Resolusi Pemuda ini akan dibentangkan kepada Pimpinan Tertinggi Parti,” katanya.


Felix berkata, Pemuda juga akan mengadakan bengkel yang komprehensif berkaitan hala tuju UPKO – Strategi dan Pelan Tindakan Menghadapi PRN17, Kos Sara Hidup Dalam Ekonomi Alaf Baru – Cabaran Menghadapi Isu 3R, Tuntutn MA63 – Isu Persempadanan Baru Kawasan Parlimen.

bottom of page