Pemuda, Wanita cadang UPKO tanding kerusi Parlimen Penampang Pemuda, Wanita cadang UPKO tanding kerusi Parlimen Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda, Wanita cadang UPKO tanding kerusi Parlimen Penampang


Billy Joe dan Felimena

10 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pergerakan Pemuda dan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang mahu pucuk pimpinan parti mempertimbang cadangan meletakkan calon parti itu bertanding kerusi Parlimen Penampang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Berdasarkan trek rekod parti itu di kawasan Penampang sebelum ini, mereka yakin UPKO mampu merampas semula kerusi itu.


Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominick berkata, pada pilihan raya lepas calon UPKO kalah di kawasan itu bukan disebabkan pencapaian parti itu tetapi pada masa itu rakyat menolak Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominick

“Oleh itu, Pemuda UPKO Penampang memohon kepada pucuk pimpinan tertinggi UPKO supaya mempertimbangkan cadangan pemimpin akar umbi UPKO bertanding kerusi Parlimen Penampang dan kerusi-kerusi negeri dalam kawasan itu pada PRU akan datang.


“Beri peluang kepada calon UPKO bertanding semula di kerusi Parlimen atau DUN kawasan Penampang (Moyog, Kapayan) dan biar rakyat yang menentukan sama ada mereka mahu UPKO mengangkat suara perjuangan mereka atau sebaliknya.


“Pemuda UPKO Penampang siap sedia memastikan kemenangan UPKO dan rakan-rakan seperjuangan parti ini di Penampang,” katanya ketika ditemui Nabalu News.


Billy Joe berkata, bagi mengelak perpecahan undi pada pilihan raya akan datang, parti-parti pembangkang harus membuat rundingan dan perbincangan teliti berhubung perkara itu.


“Bekerjasama dengan mana-mana parti terutamanya parti yang kukuh adalah lebih baik daripada bersendirian,” katanya.

Felimena Andreas

Sementara itu, Ketua Wanita UPKO Penampang yang baru dipilh Felimena Andreas turut menyatakan sokongan kepada syor pemuda UPKO Penampang.


Menurutnya berdasarkan sejarah, UPKO sejak mula bertapak di Penampang dan sehingga kini masih mendapat sokongan daripada rakyat akar umbi.


“Saya percaya sekiranya UPKO bertanding di kawasan Penampang pada PRU akan datang, semangat penyokong akan kembali memberikan kekuatan kepada calon kita.


“Oleh itu saya berharap pada PRU akan datang UPKO akan meletakkan calonnya sama ada untuk kerusi Parlimen atau mana-mana kerusi DUN,” katanya.


Felimena tidak menafikan, ketiadaan wakil rakyat daripada UPKO di kawasan itu sedikit sebanyak melunturkan semangat para penyokong parti berkenaan sehingga menyebabkan beberapa cawangan tidak aktif.


“Sebagai ketua wanita yang baharu saya akan memastikan Wanita Penampang kembali bersemangat mengukuhkan parti dan juga bekerjasama dengan sayap-sayap parti bagi menambah keahlian di kawasan ini,” katanya.

bottom of page