top of page

Penantian lebih 30 tahun penduduk Kampung Iban, Merotai berakhir

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Liew menyampaikan surat tawaran pemilikan tanah kepada salah seorang penduduk Kg Iban, Merotai, hari ini.
Liew menyampaikan surat tawaran pemilikan tanah kepada salah seorang penduduk Kg Iban, Merotai, hari ini.

28 Jun 2025


TAWAU: Penantian lebih 30 tahun penduduk Kg Iban, Merotai untuk mendapatkan hak pemilikan tanah berakhir apabila kira-kira 100 penduduknya menerima surat tawaran pemilikan, hari ini.


Salah orang penerima, Romi Anak Musin, 50, berkata, penduduk kampung mula membuat permohonan sejak 1990an lagi, termasuk meminta bantuan beberapa pemimpin sebelum ini, namun, kesemuanya menemui jalan buntu.


“Sehinggalah tahun lalu, kami bersama Ketua Kampung Iban dan beberapa ketua keluarga di sini sepakat untuk meminta bantuan Tan Sri Liew Yun Fah untuk menyelesaikan masalah ini.


“Syukur, selepas beberapa bulan, akhirnya kami menerima berita gembira dan hari ini menerima surat tawaran pemilikan,”katanya yang keluarganya sudah menetap di kampung itu lebih 50 tahun.


Romi ditemui media selepas penyerahan surat tawaran pemilikan tanah yang disampaikan sendiri oleh Liew selaku Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang turut diadakan sempena sambutan penutupan Hari Gawai 2025 peringkat Kg Iban, Merotai, hari ini.


Seorang lagi penerima, Ujih Anak Sungkiang pula menyifatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor cukup prihatin dengan kebajikan serta keperluan rakyat.


Ini kerana, katanya, bukan sahaja masalah pemilikan tanah, tetapi GRS menerusi Tan Sri Liew juga sentiasa berusaha menyantuni penduduk kampung di kawasan Merotai.


“Ini termasuklah, pemasangan lampu solar di kawasan kampung dan pelbagai inisiatif untuk petani, nelayan serta penternak dengan kerjasama agensi kerajaan, dan juga pembangunan infrastruktur,”katanya.


Sementara itu, Liew berkata, pemberian surat tawaran pemilikan tanah kepada penduduk kampung, sekali lagi membuktikan keprihatinan Ketua Menteri dan kerajaan negeri serta dibantu oleh kerjasama penduduk sendiri yang bersatu hati mahu bersama pemimpin.


“Kerjasama seperti ini sangat penting dalam usaha kita membawa perubahan kemajuan di Merotai dan juga tempat-tempat lain,”katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page