top of page
Wartawan Nabalu News

Pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat AMS


26 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seorang pendaki Gunung Kinabalu yang mengalami sindrom akut gunung (AMS) ketika mendaki bersama isterinya pada Isnin meninggal dunia di Hospital Ranau awal pagi Selasa.


Mangsa, Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi selepas dibawa turun dari Panalaban oleh pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar).


Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, isteri mangsa turut mengalami AMS dan telah diberikan oksigen oleh pasukan Mosar sebelum diusung ke Timpohon Gate dan dihantar ke hospital yang sama.


"Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, mangsa bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu pada Isnin dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.


"Kejadian bermula apabila isteri mangsa mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira jam 9 malam. Pada jam 10 malam, pasukan Penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.


"Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mangsa pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi," katanya.


Christina telah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.


Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian.


Comentarios


bottom of page