Lelaki Serah Diri, Ekor Pari Diserahkan kepada Polis Tawau
- nabalunews
- Apr 17
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
17 April 2026
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an menyerah diri kepada polis kerana dipercayai menggunakan ekor pari untuk mencederakan seseorang dalam kejadian petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin memaklumkan, suspek tampil sendiri di Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan kira-kira jam 5.20 petang dan mengaku terlibat dalam insiden berkenaan.
Suspek turut menyerahkan satu objek berbentuk ekor pari yang dipercayai digunakan semasa kejadian. Barang rampasan dan tangkapan kemudian direkodkan bagi membantu siasatan.
Menurut ACP Jasmin, suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. Hasil soal siasat awal mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes berkaitan yang dilaporkan sebelum ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mendatangkan kecederaan serta menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa.















Comments