Penduduk Kampung Sekitar Kota Belud Dinasihatkan Siap Sedia Pindah
- nabalunews
- Jan 4
- 1 min read

4 Januari 2026
KOTA BELUD: Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Belud menasihatkan penduduk di beberapa kampung untuk bersiap sedia berpindah sekiranya perlu susulan cuaca hujan berterusan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, beberapa laluan hanya boleh dilalui oleh kenderaan tinggi manakala beberapa buah rumah turut dilaporkan telah dinaiki air.
Katanya, situasi itu dikesan hasil pemantauan kawasan hotspot banjir yang dijalankan oleh APM PDPA Kota Belud hari ini.
“Antara kawasan yang dipantau ialah Kampung Sumbilingon Pituru, Kampung Marajah, Kampung Song-Song, Dan Kampung Suang Punggur,” katanya.
Menurutnya, trend hujan serta keadaan Sungai Abai yang semakin cetek menyebabkan limpahan air sungai bertakung di kawasan tanah rendah.
Susulan itu, APM telah menasihati penduduk di kawasan terjejas agar sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan bertambah buruk.
Selain itu, APM turut menasihatkan pengguna jalan untuk mengelakkan pergerakan melalui laluan kampung yang ditenggelami air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
APM memaklumkan pemantauan di kawasan berisiko akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.


















Comments