top of page

Penerima STR boleh tebus baucar RM30, biayai kos insurans dan takaful

  • nabalunews
  • Sep 2, 2025
  • 1 min read

2 September 2025


PUTRAJAYA: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menebus baucar bernilai RM30 bagi membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik dengan jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50, di bawah program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0).


Baucar yang disubsidi Kerajaan MADANI itu boleh ditebus mulai 1 September 2025.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk melaksanakan program PVT3.0, melalui kerjasama dengan industri insurans dan takaful.


“Ia bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah. Usaha ini melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan Madani dan PeKa B40, bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.


“PTV3.0 mencerminkan iltizam Kerajaan Madani untuk menggapai hasrat meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesebuah negara hanya boleh bangkit bersama apabila setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya.


Justeru katanya, inisiatif tersebut merupakan langkah mengembalikan maruah serta membina daya tahan segenap masyarakat.


“Melalui PVT3.0, Kerajaan Madani tekad untuk memperluas akses kepada semua. Seyogia, keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja,” ujarnya.


Kementerian Kewangan (MOF) katanya, akan melaksanakan protokol pengesahan identiti dalam PTV3.0 bagi memastikan permohonan yang sahih dan menepati kelayakan, selaras pendekatan Kerajaan Madani untuk menyalurkan bantuan yang bersasar dan saksama,


Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan merujuk Soalan Lazim PTV3.0 di www.myptv.my, atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar, atau premis penyedia yang mengambil bahagian, manakala senarai penuh produk yang layak boleh didapati di www.mycoverage.my.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page