- nabalunews
Pengalaman sukar dilupakan di Aki Nabalu Homestay, Kota Belud
22 Ogos 2024
KOTA BELUD: Terletak kira-kira 14 kilometer dari pusat bandar Kota Belud, Akinabalu Homestay Lodge menawarkan pengalaman cukup indah yang sukar dilupakan bagi pengunjung.
Akinabalu Homestay Lodge adalah pilihan penginapan yang ideal bagi pelancong yang mencari ketenangan dari hiruk-pikuk kehidupan di kota.
Dengan udara segar, suasana yang nyaman dan persekitaran yang indah, percutian di Akinabalu Homestay Lodge menjanjikan pengalaman penginapan yang selesa pada harga yang berpatutan.
Pengunjung turut menikmati pemandangan semula jadi yang menakjubkan dan layanan mesra, menjadikan Akinabalu Homestay Lodge satu pilihan yang sempurna untuk percutian atau rehat yang menenangkan.
Aki Nabalu Homestay Lodge dimiliki oleh Komuniti Purak Ogis, Lingkubang, Kebayau dan Bundu Paka dan terletak
di Kampung Purak Ogis, Kota Belud dan dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
pada tahun 2019.
Terdapat 10 operator pelancongan di sini yang menyediakan 20 bilik pada harga amat berpatutan iaitu RM65 bagi bilik berkipas dan RM80 bagi bilik dengan penyaman udara.
Antara aktiviti bagi pengunjung di sini ialah aktiviti kebudayaan, menikmati juadah makanan tradisi, mendaki, berakit dan banyak lagi.
Menurut penyelaras Aki Nabalu Homestay, Alexius Sagun, acara tahunan
Karnival Makanan Tradisional yang memberikan pengalaman hidup di perkampungan suku kaum Dusun bermula sejak tahun lalu.
Mengenai perancangan Aki Nabalu Homestay sempena Tahun Melawat Malaysia 2025, Alexius berkata pihaknya mahu memperkenalkan keunikan makanan dan kebudayaan tradisional secara global menjelang 2030.
Beliau turut berharap agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terus menyokong Karnival Makanan Tradisional anjuran Aki Nabalu Homestay seperti sebelumnya.
"Selain permainan dart, Aki Nabalu Homestay Kota Belud juga berharap karnival makanan tradisi sentiasa mendapat sokongan YB Datuk Ewon Benedick.
"YB Datuk Ewon menginspirasikan komuniti supaya terus melakukan inisiatif agar makanan tradisional Dusun Tindal dikenali hingga ke peringkat global," katanya.
Bagi sasaran masa hadapan, semua operator Homestay Aki Nabalu Kota Belud diharap mampu mewujudkan kampungstay seterusnya memperkasakan makanan tradisional sebagai tarikan pelancong.
Alexius berkata pada November ini, Aki Nabalu Homestay menganjurkan Karnival Makanan Tradisional yang ditambah baik supaya ianya berlangsung dengan lebih meriah.
Alexius berkata selain Karnival Makanan Tradisional, Aki Nabalu juga berhasrat untuk berkolaborasi dengan Kelab Permotoran Pacuan Empat Roda Kadamaian (KKBFWDC) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi penganjuran Karnival Kesihatan dan makanan sihat Dusun Tindal.
"Kolaborasi ini akan kami lakukan bermula tahun ini dan diadakan di Perkarangan Dewan D'Lontupak View, Kampung Purak Ogis, Jalan Ranau Bypass Kota Belud dan perasminya adalah Datuk Ewon.
"Antara acara yang telah disusun adalah saringan awal kanser payu dara oleh MAKNA, ceramah kesihatan oleh Jabatan Kesihatan, program derma darah dan pameran serta jualan makanan tradisi Kaum Dusun Tindal dan pertandingan penyediaan makanan tradisi Kaum Dusun Tindal," katanya.
Comments