Pengerusi PH Sabah mesti diterajui parti politik tempatan Sabah: Jainysius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengerusi PH Sabah mesti diterajui parti politik tempatan Sabah: Jainysius


Jainysius Sipan

24 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Ketua Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran Jainysius Sipan mengusulkan supaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah hendaklah diterajui oleh parti politik tempatan Sabah iaitu UPKO.


Beliau berkata, ini penting bagi kemantapan dan penerimaan rakyat Sabah kepada Pakatan Harapan.


Katanya, usul mengenai kepimpinan PH Sabah itu dikemukakan selepas meneliti pelbagai isu yang berlaku termasuk sentimen Sabah mendominasi politik Sabah ketika ini dan ketidakpuasan rakyat Sabah terhadap layanan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.  


“Isu masalah hubungan Kerajaan persekutuan dengan Sabah sentiasa bekumandang setiap kali pilihanraya Parlimen atau Negeri menunjukkan bahawa sentimen ini sangat kuat dan wajar diberi perhatian.


“Mengambil maklum bahawa kekecewaan dan keluhan ini semakin hari semakin ketara disebabkan oleh pelbagai isu seperti kegagalan kerajaan Persekutuan menghormati dan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia (MA63) walaupun intipati perjanjian itu telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia.  


“Umpamanya hak Sabah mendapat 40% daripada kutipan hasil Kerajaan Persekutuan di Sabah adalah termaktub dalam perkara 112C Perlembagaan Persekutuan Malaysia namun tidak dihormati dan dilaksanakan sehingga PH Sabah membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya ketika menyampaikan usul itu pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran, di sini, hari ini.


(Dari kiri) Madius, Donald, Ewon, Nelson, Felix, Laurintius dan Juliana.

Jainysius berkata, pengerusi PH Sabah juga harus diterajui oleh parti politik tempatan kerana mengubah Malaysia secara berkesan, hendaklah bernaung dengan gabungan politik nasional yang sealiran dengan halatuju, prinsip dan perjuangan UPKO serta menghormati kehendak dan tuntutan rakyat Sabah.


“Melalui pertimbangan terperinci dan mendalam, UPKO bersama Pakatan Harapan menerajui perjuangan rakyat.


“Semua usaha hendaklah didasari oleh kepercayaan, komitmen dan keikhlasan untuk memberi autonomi dan kepercayaan kepada parti tempatan Sabah untuk menyelesaikan masaalah dan isu-isu Sabah,” katanya.


Katanya lagi, PH Sabah sudah mula mengorak langkah ke arah autonomi politik Sabah dengan membuat keputusan mencabar penarikan pemberian peruntukan 40% daripada hasil kutipan kerajaan persekutuan kepada Sabah (Perkara 112C Perlembagaan Malaysia), tanpa merujuk terlebih dahulu PH Pusat untuk membuat keputusan.


Mesyuarat itu dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau.


Turut hadir Timbalan Presiden UPKO Pusat Datuk Donald Mojuntin, Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Nelson W.Angang, Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Felix Joseph Saang, Ketua Pergerakan Wanita UPKO Malaysia Datin Juliana Jani, ahli-ahli majlis tertinggi UPKO, ketua-ketua bahagian dan para perwakilan UPKO Tuaran.

bottom of page