Pengerusi PMBS Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya
- nabalunews
- Jun 29
- 1 min read

29 Jun 2025
KUNAK: Pengerusi Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Datuk Yahamad Budin, 74, disahkan maut akibat kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Difahamkan, semua sembilan mangsa yang berada di dalam van berkenaan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Festival Kebudayaan, Regatta Lepa 2025 di Semporna.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.19 pagi
Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan.

“Terdapat sembilan mangsa di dalam kenderaan termasuk seorang lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi terpaksa menggunakan peralatan khas (hydraulic power unit) bagi mengeluarkan mangsa.
Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, lapan lagi mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan jentera EMRS.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.09 pagi,” katanya.
Comments