Pengetua SM St Michael, Penampang, Terima Anugerah Tokoh Pendidikan Wanita Madani Tahun 2025
- nabalunews
- Mar 7
- 1 min read

7 Mac 2025
PENAMPANG: Pengetua Cemerlang Jusa C, Jennifer Asing, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendidikan Wanita Madani Tahun 2025.
Pengetua Sekolah Menengah St Michael, Penampang, itu menerima anugerah berkenaan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Peringkat Kementerian Pendidikan.
Jennifer berkata, anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas pengiktirafan kepada setiap usaha, pengorbanan yang dicurahkan dan setiap kejayaan yang diraihkan.

Katanya, beliau amat terharu dan terkejut apabila dimaklumkan terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah yang amat berprestij ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga dan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Puspanita, Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Tidak lupa juga kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, semua rakan guru, anggota kakitangan pelaksana, rakan ibu bapa, PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah serta semua murid dan warga sekolah atas sokongan padu yang diberikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jennifer berkata, anugerah ini bukan hanya untuk dirinya semata-mata malahan ia merupakan satu penghargaan kepada seluruh warga Sabah.
“Sesungguhnya, anugerah ini menjadi pemangkin bagi saya untuk terus berdaya saing, kreatif, dan inovatif dalam melaksanakan amanah sebagai Pengetua di SM St. Michael, Penampang.
“Saya akan terus berusaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan tidak akan pernah jemu dalam memberi sumbangan kepada komuniti pendidikan di pelbagai peringkat yang akhirnya akan membawa kepada kegemilangan dalam dunia pendidikan,” katanya.
Untuk anugerah berkenaan diberikan atas penilaian berdasarkan lima kriteria utama iaitu pengalaman luas dalam kepimpinan pendidikan, sumbangan profesional serta pencapaian dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Selain itu, ia turut merangkumi pencapaian menerusi sumbangan komuniti serta keupayaan menerajui perubahan dan memperkasa institusi ke arah kecemerlangan.
Comentarios