Pengguna elektrik di Sabah, Labuan dikecualikan surcaj Julai hingga Disember 2025
- nabalunews
- Jun 12
- 1 min read

12 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pengguna elektrik di Sabah dan Labuan dikecualikan bayaran surcaj bagi penggunaan tenaga sepanjang tempoh Julai hingga Disember tahun ini.
Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan keputusan Kerajaan Negeri untuk meluluskan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh berkenaan.
“Keputusan dibuat berdasarkan kos penjanaan yang terkawal sekali gus tidak memerlukan pengenaan surcaj kepada sebahagian pengguna seperti yang dilaksanakan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut ECoS, pelaksanaan berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada keseluruhan pengguna termasuk pengguna di bawah Pemegang Lesen Awam Pengagihan.
“Ini bermaksud tiada peningkatan bil elektrik untuk semua pengguna di Sabah sepanjang tempoh enam bulan tersebut,” tambah kenyataan itu.
ICPT adalah mekanisme di bawah Incentive-Based Regulation (IBR) bagi semakan tarif elektrik setiap enam bulan berdasarkan perubahan kos penjanaan sebenar berbanding unjuran dalam tempoh kawal selia yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri menerusi rangka kerja IBR.
Komentar