top of page

Penggunaan tenaga elektrik di Pulau Banggi melebihi kapasiti - Madius

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

28 Mei 2025


KUDAT: Peningkatan penggunaan tenaga elektrik di Pulau Banggi melebihi kapasiti penjanaan sedia ada menyebabkan bekalan tidak mampu menampung keperluan penduduk secara konsisten.


Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, walaupun kapasiti penjanaan terpasang jentera kuasa diesel sebanyak 2,000kW dan sistem solar 600kW, namun keupayaan sebenar merosot akibat faktor usia dan degradasi peralatan.


“Permintaan tenaga pada waktu malam kini mencecah 932kW. Sistem sedia ada tidak mampu menampung keperluan penduduk secara konsisten,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan kerja di sini, pada Selasa.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, dua unit jentera kuasa tambahan masing-masing berkapasiti 1,000kW telah dihantar pada tahun 2017 dan 2024 bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.


Namun pada masa yang sama, katanya, pelbagai isu lain turut menjejaskan keupayaan penjanaan tenaga, antaranya pepasangan litar yang semakin usang serta bateri sistem penyimpanan solar yang perlu diganti bagi memastikan penyimpanan tenaga dapat berfungsi pada tahap optimum.


“Selain itu, keupayaan panel solar untuk menyerap tenaga suria juga sudah merosot menjadikan ia tidak mampu berfungsi dengan berkesan seperti sebelumnya.


“Dua buah enjin penjana diesel pada ketika ini juga sering mengalami kerosakan kerana sudah usang iaitu melebihi 15 tahun sejak digunakan pada 2009,” katanya.


Sehubungan itu, Madius berkata, pihaknya telah dijadualkan membentangkan laporan mengenai situasi semasa bekalan elektrik Pulau Banggi kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 3 dan 26 Jun depan.


“Hasil dapatan lawatan ini akan dibentangkan kepada pihak KKDW untuk memohon peruntukan bagi menaiktaraf khususnya peralatan-peralatan yang usang dan tidak efisien,” katanya.


Sistem bekalan elektrik hibrid solar-diesel di pulau itu telah mula beroperasi sejak tahun 2009 menerusi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) KKDW Sistem Solar Hibrid (SSH).


Projek tersebut diserahkan kepada Sabah Electricity pada tahun 2015 untuk tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan.


Pada masa ini, sebanyak 16 pulau kecil yang sistem operasinya telah diserahkan kepada Sabah Electricity di bawah projek SSH BELB termasuk Pulau Banggi, manakala sembilan terletak di Semporna dan enam lagi di Sandakan.


“Kesemua keperluan untuk menaiktaraf hal ehwal bekalan elektrik di kawasan tersebut juga akan dimajukan semasa pertemuan dengan KKDW pada Jun depan,” katanya

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page