top of page

Pengunjung Bertuah Menang ATV dengan Hanya RM15 di Program Kadamaian

  • nabalunews
  • Sep 19
  • 2 min read

ree

18 September 2025


KOTA BELUD: Seorang pengunjung bertuah, Bianus Sarap dari Kampung Bangkahak Sum-Sum, Kota Belud, mencatat kenangan manis apabila memenangi sebuah kenderaan All Terrain Vehicle (ATV) sempena program empat dalam satu yang berlangsung di Kadamaian Square Taginambur pada 15 September lalu.


Dengan hanya membeli tiga keping tiket bernilai RM15, beliau dipilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah dalam acara berkenaan.


Menurut Bianus, kemenangan itu amat mengejutkan kerana beliau tidak pernah menyangka pembelian tiket bernilai kecil mampu menghadiahkannya sebuah kenderaan yang begitu berharga.


“Syukur kepada Tuhan atas kemenangan ini. Walaupun saya bukan penduduk Kadamaian, saya hadir bagi memberikan sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” jelas beliau ketika ditemui.


Bianus turut menegaskan bahawa kehadirannya ke program tersebut bukan semata-mata untuk menyertai cabutan bertuah, sebaliknya kerana minat mendalam beliau terhadap perkembangan kepimpinan Datuk Ewon.


“Kadamaian amat bertuah kerana memiliki seorang wakil rakyat yang berwibawa. Saya sentiasa mengikuti perjalanan politik beliau kerana konsistensi dan dedikasi beliau dalam memperjuangkan masyarakat amat dikagumi,” ujarnya.


Program empat dalam satu itu diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk aktiviti Larian Pisompuruan, Konvensyen Rakyat Kadamaian 2025 serta Program Kadamaian Idol. Acara tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat setempat dengan pemimpin, malah menarik penyertaan daripada pengunjung luar kawasan Kadamaian.


Penganjuran program tersebut menunjukkan keprihatinan kepimpinan setempat terhadap komuniti Kadamaian. Selain memperkukuhkan semangat kebersamaan, acara sebegini turut mengiktiraf sokongan masyarakat dan memberikan peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama menikmati pengalaman yang bermanfaat.


Kemenangan Bianus menjadi bukti bahawa sokongan ikhlas sering kali disusuli dengan rezeki yang tidak disangka. Lebih daripada sekadar hadiah, ia merupakan simbolik kepada hubungan rapat antara rakyat dan wakil mereka.


Dengan hanya bermodalkan RM15, seorang pengunjung kini pulang dengan sebuah ATV – satu pencapaian bertuah yang pastinya akan dikenang sepanjang hayat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page