Pengunjung Khayal Dadah dan Pengurus Pusat Hiburan Ditahan
- nabalunews
- May 4
- 1 min read

4 May 2025
PENAMPANG: Seorang pengunjung pusat hiburan di sini, ditahan polis selepas didapati positif dadah sebaik menjalani ujian saringan air kencing, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikesan hasil pemeriksaan terhadap 24 pengunjung pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi bersepadu Op Noda dan Op Pusat Hiburan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, operasi diketuai Ketua BSJND Penampang, Asisten Superintendan Mohd Amiruddin Arshad bersama sembilan orang pegawai dan anggota polis.
“Sebaik operasi dilaksanakan, seramai 24 pengunjung pusat hiburan berkenaan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil pemeriksaan, seorang lelaki tempatan selepas didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, sebuah lagi pusat hiburan dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Katanya, pengurus premis berusia 36 tahun terus ditahan dan beberapa peralatan muzik dirampas untuk tindakan selanjutnya.
“Individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan serta operasi dari semasa ke semasa.

Katanya, para pengusaha premis hiburan juga disarankan supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Comments