Penipuan Atas Talian: 290 Kertas Siasatan Dibuka Libatkan Kerugian RM14.628 juta
- nabalunews
- Mar 19
- 2 min read

19 Mac 2026
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuka 290 kertas siasatan melibatkan jumlah kerugian berjumlah RM14.628 juta bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu, 214 kes merupakan penipuan atas talian yang menyebabkan kerugian berjumlah RM11.12 juta.
Katanya, bagi tempoh sama, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil turut mengesan 46 kes tipu pembelian e-dagang (kenderaan) yang turut menyebabkan kerugian sebanyak RM328,888.
“Modus operandi bagi kes penipuan pembelian e-dagang adalah pemilik kenderaan akan mengiklankan kenderaan milik mereka untuk dijual di media sosial seperti Facebook, Mudah.my dan sebagainya.
“Kemudian, kumpulan sindiket akan mengiklankan kenderaan yang sama dengan harga jualan yang lebih murah.
“Apabila ada mangsa berminat untuk membeli maka sindiket akan berunding harga dan arahkan mangsa ke alamat pemilik asal untuk melihat kenderaan berkenaan.
“Pada masa yang sama, sindiket akan berurusan dengan pemilik kenderaan dan maklumkan berminat untuk membeli serta akan hantar orang untuk melihat kondisi kenderaan.
“Setelah mangsa sudah melihat kenderaan dan bersetuju, maka sindiket akan minta buat bayaran sebelum mendapatkan kenderaan tersebut.
“Bagaimanapun, sebaik membuat bayaran, pemilik kenderaan enggan menyerahkan kenderaan disebabkan tidak terima bayaran manakala sindiket akan menghilangkan diri serta sekat panggilan diket akan menghilangkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati bagi kes penipuan pembelian e-dagang, sindiket akan menjadi orang tengah dan tidak akan berjumpa dengan mangsa ataupun pemilik kenderaan.
“Oleh itu, pihak polis menasihatkan orang awam agar jangan mudah percaya dengan iklan di media sosial serta tawaran harga yang murah dan buat semakan pemilik kenderaan sebelum membuat sebarang urus niaga.
“Pada masa yang sama orang awam dinasihatkan juga dalam urusan tempahan homestay melalui iklan media sosial. Semak terlebih dahulu sebelum berurusan dan membuat pembayaran,” katanya.
Syed Lot berkata, ini kerana ada sindiket mengambil kesempatan untuk menipu orang awam dalam urusan tempahan homestay di kawasan bandar serta tempat peranginan pada musim cuti sekolah mahupun cuti perayaan.
“Pihak kami memohon agar orang awam sentiasa berwaspada dengan penipuan-penipuan scammer atas talian,” katanya.















Comments