Penjaja di pasar sementara di Tanah Merah Sandakan tidak akan dihalau
- nabalunews
- Oct 14, 2024
- 2 min read

14 Oktober 2024
KARAMUNTING: Khabar angin dan dakwaan mengatakan penjaja Pasar Karamunting yang berniaga sementara di Tanah Merah, Karamunting, di sini akan dihalau adalah tidak benar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata, penjaja terlibat juga tidak perlu risau kerana mereka tidak akan dihalau atau dihalang untuk terus berniaga di tapak jualan sementara itu buat masa ini.
George menyatakan perkara itu selepas melakukan lawatan ke pasar itu dan bertemu penjaja terlibat sekitar tapak berkenaan dan menjelaskan situasi sebenar selepas pihaknya menerima maklumat mengenai penyebaran berita palsu mengenai pemindahan penjaja dari tapak tersebut.
Tambahnya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Joachim Gunsalam, sebelum ini juga telah memberi jaminan bahawa penjaja di situ tidak akan dihalau dari lokasi berkenaan.
Penjaja berniaga di tapak sementara itu sementara menunggu Pasar Karamunting dibaikpulih sepenuhnya.
George menjelaskan peruntukan untuk kerja-kerja baikpulih Pasar Karamunting ini juga telah diluluskan dimana jika semuanya berjalan lancar, pasar tersebut dijangka dapat digunakan semula pada awal tahun depan.
"Pasar ini kini dalam proses baikpulih, dan saya memberi jaminan bahawa penjaja dibenarkan untuk terus berniaga di pasar sementara ini sehingga Pasar Karamunting siap dibaikpulih kelak," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap konsesi yang diberi amanah melaksanakan kerja-kerja baikpulih berkenaan dapat melakukan kerja dengan sebaiknya dan telus.
Penjaja yang terlibat merakam ucapan terima kasih kepada George atas penjelasan berkenaan khabar angin dan mereka lega selepas dimaklumkan boleh berniaga di tapak sementara itu sehingga Pasar Karamunting siap dibaiki.
George juga menasihati masyarakat agar tidak mudah percaya kepada khabar angin sebaliknya mencari maklumat tepat dengan segera.
Semasa tinjauan sama, George juga dimaklumkan oleh penjaja bahawa beberapa kanopi di pasar sementara tersebut sudah usang.
George berjanji akan mencari jalan bagi membantu penjaja menggantikan kanopi tersebut dengan yang baharu dengan segera.
Comments