top of page

Penjenayah Curi Kabel Telekom Ditahan

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

9 Januari 2026


PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan, manakala beberapa rakannya diburu selepas disyaki terlibat dalam kejadian kes khianat kabel Telekom Malaysia (TM) dalam operasi yang dijalankan, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan sekumpulan lelaki yang sedang memotong kabel Telekom di Jalan Taman Bulan, di sini.


Bagaimanapun katanya, sebaik cuba ditahan, kumpulan suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa terus bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga.

“Susulan kejadian itu, pihak polis terpaksa mengejar kenderaan suspek dari kawasan Penampang hingga ke Kota Kinabalu sebelum dibantu kenderaan peronda polis (MPV) daripada Ihu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.


“Kenderaan yang digunakan suspek berjaya ditahan namun beberapa rakan suspek lain berjaya meloloskan diri dan usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek, pihak polis berjaya menemui beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan.

“Antara yang dirampas ialah segulung kabel telekom dan pemotong besi selain kenderaan turut disita untuk membantu siasatan lanjut.


“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Kes curi kabel disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan masyarakat.


Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau mana-mana kes jenayah lain diminta agar menyalurkan maklumat untuk tindakan segera.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page