Penularan kes Tibi perlu perhatian serius – Dr Dzulkefly
- nabalunews
- 21 minutes ago
- 1 min read

18 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Penyakit Tuberkulosis (Tibi) bukan isu baharu dalam landskap kesihatan awam negara, sebaliknya kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius semua pihak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, mutakhir ini timbul persepsi yang mengaitkan penularan Tibi dengan kemasukan warga asing, namun data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan jumlah kes dalam kalangan warganegara lebih tinggi ketika ini.
“85 peratus daripada kes yang dilaporkan melibatkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus melibatkan warga asing.
“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Dzulkefly, tibi bukan sekadar isu klinikal malah merupakan penyakit yang berkait rapat dengan faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.
Jelasnya, bakteria Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan penyakit itu sememangnya sukar dihapuskan, namun ia boleh dicegah, dirawat dan sembuh sepenuhnya sekiranya dikesan awal serta pesakit mematuhi rawatan antibiotik sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap gejala awal penyakit berkenaan seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam serta susut berat badan.
Selain itu, Dzulkefly turut menegaskan kepentingan menghentikan stigma terhadap pesakit Tibi kerana sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit melengkapkan rawatan.
"Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa turut diseru memastikan anak-anak menerima imunisasi Bacillus Calmette-Guerin (BCG), di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan pengudaraan rumah yang baik.
“KKM komited memperkasakan strategi pengesanan aktif dan bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui pendekatan whole-of-government bagi menamatkan endemik Tibi di Malaysia,” katanya.














