Penumpang Maut Kereta Terjunam Ke Dalam Pembentungan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

23 Januari 2026
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas pacuan empat roda dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang pembentungan di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, penumpang kenderaan Muhammad Almadi Hassan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Manakala pemandu Toyota Hilux berusia 34 tahun terbabit pula dilaporkan parah selepas mengalami kecederaan patah tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.04 pagi.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa didapati terperangkap di dalam lubang pembentungan (jacking pit) sedalam kira-kira tujuh meter dan selebar 6.5 meter yang sedang dalam proses pembinaan.

“Pasukan bomba terus bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan tali serta stretcher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Manakala pemandu yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Sumsoa berkata, operasi menyelamat turut dibantu agensi lain termasuk KKM dan PDRM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi.
“Pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan,” katanya.


















Comments