Penunggang motosikal lawan arus maut bertembung kereta
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

25 Mei 2025
PENAMPANG: Tindakan seorang penunggang motosikal melawan arus membawa maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kota Kinabalu - Papar, berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, penunggang motosikal berusia 42 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun bergerak dari arah Petagas menuju ke Papar.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan bertembung dengan sebuah motosikal yang disyaki ditunggang secara melawan arus dari arah bertentangan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa dilaporkan bergerak dari arah Kinarut menuju ke Putatan dan bertembung dengan kereta Perodua Bezza.
"Akibat kejadian itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospita Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Amrin Mohamad Arif di talian 017-6638278," katanya.
Sementara itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.
Katanya, masyarakat juga diminta supaya tidak menularkan sebarang imej atau video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Comments