Penunggang motosikal maut
- nabalunews
- Aug 29
- 1 min read

29 Ogos 2025
PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kereta pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Pintas Penampang, berhampiran Bulatan Datuk Peter Mojuntin, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, mangsa berusia 32 tahun terbabit dilaporkan tercampak ke dalam longkang yang masih dalam pembinaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tercampak kira-kira 30 meter dari motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan melibatkan kereta Mitsubishi Triton yang bergerak dari arah Plaza 333.
Katanya, mangsa yang menaiki motosikal turut bergerak dari arah sama sebelum bergesel ketika masuk ke bulatan berkenaan lalu.
"Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas sejauh kira-kira 30 meter manakala mangsa tercampak masuk ke dalam longkang pembinaan di bahu jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat dihantar ke Unit Forensik HQE I, untuk proses bedah siasat manakala pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian," katanya.
Sementara itu, Sammy menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133," katanya.


















Comments