Penunggang motosikal maut bertembung dengan pacuan empat roda
- nabalunews
- Oct 7
- 1 min read

7 Oktober 2025
TAWAU: Seorang penunggang motosikal, 48, maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Bombalai pada Ahad lalu.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, dilaporkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataan media hari ini, berkata, pasukannya menerima maklumat kejadian membabitkan kereta jenis Isuzu dan motosikal jenis Honda Wave pada jam 9.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu kereta berusia 56 tahun dalam perjalanan dari arah Kalabakan menuju ke bandar Tawau.
“Apabila menghampiri simpang Ladang Table, pemandu tersebut bertembung dengan sebuah motosikal yangkeluar dari simpang tersebut sambil membelok ke arah kanan menuju ke Jalan Bombalai,”katanya.
Jasmin berkata, akibat pertembungan itu, mangsa bersama motosikalnya terjatuh dan tercampak ke atas jalan raya di laluan menghala ke Bombalai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala, pemandu kenderaan tidak cedera.
Tambahnya, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Dalam pada itu, beliau menyeru saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan.


















Comments