Penunggang motosikal maut, bertembung kereta dalam kemalangan di Penampang
- nabalunews
- Feb 9
- 1 min read

9 Februari 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Penampang - Tambunan, berhampiran sebuah kedai perabot, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 5:30 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati motokar yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dari arah Penampang telah bertembung dengan motosikal mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Noor Ishamudin Bin Ismail di talian 017-6703700.
Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan imej atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Comments