Penunggang motosikal maut langgar lori rosak dibiar dua hari di laluan utama
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

19 Disember 2025
TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar belakang sebuah lori yang dibiarkan dua hari di laluan utama tanpa dialihkan selepas mengalami kerosakan mekanikal serius, dalam nahas jalan raya di Jalan Sungai Burung, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 32 tahun yang cedera parah itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung.
Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian pada jam 6.05 pagi dan siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan membawa muatan bahan dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang mangsa lelaki bsekenaan.
Katanya, lori itu dipandu oleh lelaki tempatan, 46, sebelum mengalami kerosakan mekanikal serius pada 17 Disember lalu sekitar jam 10.30 malam ketika dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menuju ke Beluran.
"Kerosakan itu mengakibatkan enjin lori mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula sebelum berhenti di laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas.
"Lori tersebut dilaporkan tidak dialihkan dari laluan utama selama lebih kurang dua hari,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ketika kejadian pula, mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerja di sebuah kilang sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori berkenaan dan tercampak ke lorong kanan jalan.
Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati mendapati kawasan kejadian tidak mempunyai lampu jalan dan tiada papan tanda amaran atau peranti keselamatan diletakkan oleh pemandu lori bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memastikan kenderaan yang rosak dialihkan ke tempat selamat serta memasang papan tanda amaran, khususnya di kawasan gelap bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.


















Comments