top of page

Penunggang Motosikal Maut, Rempuh Belakang Kereta

  • nabalunews
  • 57 minutes ago
  • 1 min read

12 Mac 2026


KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh sebuah kereta dari belakang dalam kejadian di atas jambatan Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC bergerak dari pusat bandar menuju ke arah Telipok.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar belakang kereta Perodua Bezza dan terbabas ke atas jalan.


“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.


“Mayat mangsa sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankn mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Katanya, kedua-dua kenderaan yang terlibat sudah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil rakaman percakapan saksi serta waris bagi membantu siasatan.


“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling, 018-9091014,” katanya.


Sehubungan itu, Syed Lot menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati terutamanya pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page