Penunggang Motosikal Remaja Maut
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

12 Februari 2026
PAPAR: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh penghadang simen dalam kejadian di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Andus, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Benoni menuju ke Kimanis.

Bagaimanapun katanya, motosikal jenis SYM VF3i terbabas sendiri sebelum merempuh penghadang simen di atas jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar.
“Lokasi kejadian adalah di laluan Jalan Pan Borneo yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka untuk kegunaan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati, keadaan jalan pada waktu kejadian gelap dan kurang pencahayaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, Heryan berkata, pihaknya ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta tidak menggunakan laluan yang masih dalam pembinaan kerana ia boleh mengundang risiko yang tidak dijangka.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa.
“Kehilangan anak pada usia muda merupakan satu ujian yang amat berat, dan kami mendoakan agar keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.


















Comments