Penyakit HFMD di Sabah meningkat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyakit HFMD di Sabah meningkat


19 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 2,834 kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sejak awal tahun sehingga 16 Mei 2022.


Pengarah kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr.Rose Nani Mudin berkata, ini merupakan peningkatan yang sangat tinggi jika dibandingkan 55 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun 2021.


“Lima daerah yang melaporkan kes tertinggi ialah Tawau (435 kes), Sandakan (387 kes), Lahad Datu (308 kes), Kota Belud (244 kes) dan Papar (229 kes).


“Sebanyak 93 peratus kes adalah kanak kanak berumur 6 tahun ke bawah dan transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Penyakit HFMD adalah penyakit yang kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.


Antara gejala HFMD ialah demam, ulser pada tekak, mulut dan lidah, ruam dengan lepuh pada tapak tangan dan kaki, sakit kepala dan hilang selera makan.


Ianya disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus) yang merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.


Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkiti dan HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Tidak ada kematian disebabkan oleh HFMD dilaporkan setakat ini.


Rose berkata antara langkah-langkah yang sedang dijalankan oleh pihak JKNS adalah siasatan segera ke atas kes-kes yang dilaporkan selain menjalankan promosi kesihatan dan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis yang berisiko.


“Premis terjejas juga akan diarah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk kerja-kerja pembersihan premis bagi memutuskan rangkaian jangkitan.


“Peranan ibubapa dalam pencegahan HFMD adalah memastikan untuk kerap membasuh tangan khususnya semasa mengendali makanan dan selepas menggunakan tandas.


“Cuci dan disinfeksi bilik air, mainan dan barang lain yang disentuh anak dengan sabun dan air atau menggunakan cecair pembasmi kuman.


“Jangan berkongsi cawan minum, peralatan makanan atau barangan peribadi seperti tuala dan berus gigi.


“Elakkan memeluk dan mencium anak yang dijangkiti dan bawa anak yang mempunyai tanda dan mengalami gejala jangkitan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page