top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyediaan infrastruktur dan akses perkhidmatan digital perlu dipertingkatkan: Agong

13 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional Tahun 2030.


Baginda bertitah, ia bagi menyokong matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


“Ekosistem industri juga hendaklah sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring perkembangan semasa. Justeru, beta menyambut baik matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan peranan sektor swasta serta PMKS,” titah baginda semasa menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.


Al-Sultan Abdullah bertitah, seperti kebanyakan negara lain, Malaysia tidak terlepas daripada menghadapi inflasi serta peningkatan kos sara hidup.


“Bagi mendepani permasalahan ini, beta mengalu-alukan usaha untuk memperkasa fungsi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.


“Beta yakin dengan semangat ihsan dan inisiatif Rahmah serta Daya mampu membawa perubahan dalam memberikan jaringan perlindungan sosial dan seterusnya membendung isu kos sara hidup.


“Justeru, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara melibatkan pengeluar, peniaga, pengguna dan semua agensi Kerajaan,” katanya.


Al-Sultan Abdullah bertitah, aspek kesalinghubungan digital merupakan antara asas terpenting pembangunan sesebuah masyarakat dengan ekosistem digital.


“Ke arah ini, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara agar rakyat beta dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi digital dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.


“Pada tahun 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada KDNK dan e-Dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang,” katanya.


Yang di-Pertuan Agong berkata, bagi merealisasikan agenda pendidikan digital negara dan menjamin akses kepada pendidikan, dasar pendidikan digital merangkumi penyediaan infrastruktur dan keupayaan digital sedang dirangka.

“Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 juga sedang dikemas kini bagi menjamin keselamatan data peribadi agar ianya seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan perundangan privasi global.


“Pelbagai program turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan pengguna data termasuk aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan akta tersebut,” katanya.

bottom of page