- nabalunews
Peranan JKKK amat penting dalam pembangunan kampung
26 August 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
NABAWAN: Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam memajukan dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan kampung amat penting.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata badan JKKK yang dikemudikan oleh pengerusinya dan dibantu oleh barisan Ahli Jawatankuasanya adalah organisasi yang penting dalam pembangunan sesebuah kampung.
Katanya, mereka umpama tulang belakang sebagai pemimpin akar umbi yang menjadi penghubung antara masyarakat dan kerajaan.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKKK dan Penyerahan Kunci Sabah Maju Jaya (SMJ) daerah Nabawan dan daerah kecil Pagalungan di Dewan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) di sini pada Jumaat.
Menurut Ghani, masyarakat kampung menaruh harapan kepada badan JKKK agar memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di bawah jagaan masing-masing.
"Justeru itu usahakanlah sebaiknya dan pikulahl tanggungjawab ini dengan penuh amanah, adil dan berdedikasi" katanya.
Pada masa sama Ghani menyeru kepada semua pemimpin masyarakat akar umbi agar menjalankan peranan seperti mana yang diamanahkan.
"Kita sama-sama bekerja sebagai sebuah kumpulan yang besar untuk mensejahtera dan memajukan daerah Nabawan dan daerah kecil Pagalungan.
"Pada hemat saya amalan bersatupadu tanpa memandang apa-apa perbezaan dalam hal menjaga keharmonian dan pembangunan di setiap kawasan perlulah terus dipelihara dengan sebaiknya" katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalugan Hasinin Kinsim, Ketua Jurutera Unit Kejuruteraan KPLB Mohd Fadzy Ag Osman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan, Deckson Andipai, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
Comments