Peratusan jangkitan sporadik tinggi 10 daerah di Sabah

13 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Hampir 60 peratus daripada 3,891 kes baharu yang dicatatkan di Sabah hari ini adalah jangkitan secara sporadik melalui saringan bergejala.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peratusan kes-kes jangkitan sporadik di daerah-daerah yang mencatatkan kes tiga angka adalah tinggi.
“Ini termasuk Kota Kinabalu sebanyak 68 peratus, Sandakan (78 peratus) Tuaran (49.2 peratus), Penampang (45.7 peratus), Papar (55.8 peratus), Tawau (57.1 peratus), Lahad Datu (60.8 peratus), Beaufort (52.6 peratus), Ranau (85.7 peratus) dan Kota Belud sebanyak 42 peratus.
“Kita boleh rumuskan bahawa peratusan jangkitan secara sporadik (bergejala) yang tinggi adalah penyebab kepada perebakan virus yang begitu cepat dan meluas di kawasan-kawasan tersebut dan akan menjadi faktor penentu kepada jumlah kes baharu dalam masa terdekat.
“Walaupun jumlah hari ini turun sedikit berbanding semalam namun kemungkinan besar tidak akan bertahan dengan mengambilkira peratusan kes-kes jangkitan sporadik yang amat tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, secara keseluruhannya 99.74 peratus atau 3,881 daripada 3,891 pesakit adalah dalam Kategori 1 dan 2, masing-masing empat pesakit dalam Kategori 3 dan Kategori 4, manakala dua lagi dalam Kategori 5.
“Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 1,390 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP,” katanya.
Kataya lagi, lima kes kematian turut dilaporkan hari ini masing-masing dua kes di Tuaran dan Tawau dan satu kes di Telupid.
“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” katanya.
Kommentare