Perdana Menteri Kecam Serangan Terhadap Ketua Polis Dang Wangi
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

11 September 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan pihak tidak bertanggungjawab terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman, menyifatkannya sebagai perbuatan keji.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, namun menegaskan kebebasan tersebut mesti disertai rasa tanggungjawab serta kepatuhan terhadap undang-undang.
Katanya, prinsip kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan tindakan melampaui batas sehingga mencetuskan kekacauan serta menjejaskan ketenteraman awam.
“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata beliau telah menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan menangkap dalang serta individu yang terbabit dalam kejadian itu.
Terdahulu, Bernama melaporkan Sulizmie Affendy dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, di ibu negara hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu. Kekecohan berlaku apabila sebahagian penduduk enggan beredar dan terus melakukan provokasi.
Perdana Menteri berkata, himpunan aman tidak seharusnya disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” tegasnya.
Comments